Artikel Yang Sangat Menarik

(-Rencana Utusan Malaysia 13 September 2007)
Cara Jepun bina modal insan
Oleh: HAIDAR NAJIYAH IBRAHIM
Daerah Maizuru hampir sama dengan kawasan ‘kampung’ lain di Jepun. Dalam suasana pagi yang dingin, kawasan luar bandar seperti ini kerap berkabus, tetapi tenang dan harmonis. Maizuru hanyalah sebuah pekan kecil di pinggir laut sebelah utara Pulau Honshu. Ia jauh dari hiruk-pikuk kehidupan kota yang bising dan sibuk segalanya. Bandar besar terdekat dengannya ialah Osaka, kira-kira dua jam perjalanan bas, atau Kobe, kira-kira sejauh ke Osaka juga.

Dalam musim dingin, pada pukul 6 pagi sudah kelihatan matahari di ufuk timur. Pada pukul 8 pagi, matahari sudah tinggi di negeri matahari terbit ini. Inilah masanya, kelihatan suasana agak sibuk. Ketika ini berduyun-duyun di jalan, anak-anak kecil menuju ke destinasi masing-masing, iaitu sekolah. Namun, keadaannya tetap tenang, tidak berserabut dengan hiruk-pikuk dan deruan kereta di jalan-jalan. Anak- anak kecil dan murid-murid sekolah rendah boleh dikatakan hampir kesemuanya berjalan kaki ke tadika atau sekolah mereka.

Inilah kelainannya. Sejak dari umur tadika mereka berjalan kaki ke tempat belajar. Agak jauh. Malah ada yang berjalan hingga kira-kira setengah kilometer dari rumah masing-masing. Dengan itu, tidak berlaku kesibukan kenderaan di hadapan pintu sekolah mereka. Tidak ada deruman enjin motosikal di dalam kawasan sekolah. Keadaan sangat tenang dan harmonis.

Semasa pulang, keadaannya juga demikian. Murid-murid kecil ini pulang bersendirian, tanpa dijemput oleh ibu bapa mereka. Bagi yang berjauhan biasanya mereka kelihatan berjalan berkelompok.

Mengapakah orang Jepun membiarkan anak mereka berjalan sendirian pergi balik ke sekolah? Sikap ini mungkin sukar untuk kita padankan dengan keadaan kita di Malaysia. Jika difikirkan tentang kemampuan tiap keluarga, mereka jauh lebih mampu, kalau setakat hendak menghantar anak ke sekolah dengan kereta masing-masing.

Ini adalah suatu cara mendidik anak mereka, mungkin supaya mulai belajar berdikari. Bagi kita mungkin tidak terlalu mudah melaksanakannya, memandangkan keadaan keselamatan yang masih menghantui kita. Baik keselamatan yang bersifat jenayah mahupun keselamatan jalan raya. Kita boleh memuji mereka kerana telah berjaya menghasilkan situasi yang begitu selamat untuk rakyat mereka.

Pelajar peringkat sekolah menengah pula, kebanyakannya menunggang basikal ke sekolah. Mereka tidak menaiki motosikal seperti kita. Atau naik bas. Atau dihantar oleh ibu bapa. Mereka selesa menunggang basikal.

Suasana seperti ini sungguh berlainan dari suasana pagi di tempat kita. Cuaca mungkin membantu mereka mempunyai sikap seperti itu. Mengayuh basikal dalam keadaan yang dingin tidak terlalu memenatkan. Keadaan cuaca panas mungkin menjadi suatu penghalang utama kepada kita untuk menyuruh anak-anak mengayuh basikal ke sekolah. Namun, ada banyak sikap positif lain yang boleh kita pelajari.

Jepun tidak mengadakan pakaian seragam bagi murid sekolah rendah di seluruh negara. Mereka hanya mempunyai pakaian seragam bagi sekolah menengah masing-masing sahaja. Jadi, pakaian seragam bagi sesuatu sekolah tidak sama dengan sekolah lain. Itu bagi sekolah menengah. Bagi murid sekolah rendah, langsung tidak ada pakaian seragam yang khas. Mereka boleh memakai pakaian apa sahaja yang sopan. Baju, seluar dan kasut tidak perlu seragam.

Jadi, bagaimana kita hendak kenali anak-anak sekolah di luar kawasan sekolah? Mereka boleh dikenali kerana membawa beg sekolah yang sama. Jadi, yang seragam hanyalah beg sekolah mereka. Inilah identiti anak-anak sekolah di Jepun. Mereka hanya boleh dikenali ketika menggalas begnya.

Beg seragam ini dijual oleh pihak kerajaan. Kalau di tempat kita, perkara beg ini sudah tentu boleh menjadi isu besar, kerana harganya ialah antara 30,000 hingga 50,000 Yen, iaitu kira-kira sama dengan RM1,000. Namun, bagi mereka perkara ini sudah biasa. Walaupun mahal tetapi berkualiti tinggi. Lagi pula, soal harga bukan perkara besar bagi mereka kerana rata-rata berpendapatan tinggi.

Beg ini diperbuat daripada kulit. Dan hanya beg inilah yang akan digalas oleh seseorang murid itu, dalam sepanjang pengajiannya di sekolah rendah, dari darjah satu hingga enam.

Ukurannya tidak terlalu besar. Sepadan dengan buku-buku mereka hanya sebesar buku komik Doraemon. Tidak terlalu berat dan memenatkan untuk digalas sejauh setengah kilometer. Corak buku yang tidak terlalu besar ini juga berlaku bagi peringkat sekolah menengah dan kolej-kolej pengajian peringkat lebih tinggi.

Setiap murid mempunyai sepasang kasut berwarna putih yang mesti ditinggalkan di sekolah, tidak boleh dibawa pulang ke rumah. Semua murid pergi ke sekolah dengan menggunakan kasut sendiri, kemudian ditukar dengan kasut khas ketika berada di sekolah. Kasut sendiri disimpan dalam rak khas, hinggalah ditukar semula semasa hendak pulang. ‘Pengurusan keseragaman’ kasut seperti ini dilakukan di sekolah rendah dan juga menengah.

Selain itu mereka juga mempunyai sepasang lagi kasut khas untuk memasuki dewan sekolah. Perkara ini diamalkan supaya lantai dewan itu tidak cepat rosak. Kasut khas ini tidak dibenarkan dipakai di luar atau menyentuh tanah kerana dikhuatirkan sebarang pasir yang melekat boleh mencalarkan lantai.

Perkara ini sangat penting dan dipatuhi oleh semua murid mereka. Semenjak kecil mereka telah ditanam disiplin seperti ini. Mengajar disiplin adalah kunci utama pengajaran mereka di peringkat awal.

Butir-butir pengajaran secara ‘terperinci’ mungkin telah kita remehkan, tetapi tidak bagi orang Jepun. Misalnya, tentang disiplin ketika makan sangat ditekankan di sekolah. Di sekolah rendah, makanan tengah hari disediakan dan murid-murid bergotong-royong sesama sendiri untuk mengedarkan makanan.

Di Malaysia mungkin perkara ini boleh menjadi isu besar dan boleh disalah tafsir sebagai ‘penderaan’ murid, terutamanya yang masih berumur sangat muda. Murid diwajibkan membasuh pinggan sendiri setiap hari, dalam sepanjang pengajian mereka. Mereka juga terpaksa mengangkat dan mengagihkan sendiri makanan yang disediakan oleh pihak sekolah. Semuanya mereka belajar urus sendiri dengan bantuan guru. Dan mereka melakukannya dengan penuh kegembiraan.

Setiap hari murid bertugas yang dilantik akan mengangkat periuk makanan yang dimasak oleh tukang masak sekolah dari bilik masakan ke bilik darjah dan membahagikan makanan ke dalam bekas yang dibawa sendiri oleh murid-murid. Tetapi yang menjadi perhatian saya adalah terlampau telitinya mereka: Murid yang bertugas dan guru juga, tidak pernah lupa memakai pakaian ala chef yang lengkap dengan apron, penutup kepala serta mask. Perkara pakaian khas seperti ini menjadi kewajipan semenjak kecil lagi, hingga tertanam dalam sanubari mereka. Keadaan inilah yang tidak ada di negara kita dan mungkin boleh dipelajari dalam pembinaan jiwa.

Murid-murid akan membawa bekas makanan masing-masing ke tempat pengedaran makanan dan beratur dengan tertib untuk menunggu giliran masing-masing. Setelah makanan diedarkan kepada semua murid, mereka akan duduk di tempat masing-masing menunggu untuk memulakan juadah dengan serentak, iaitu apabila dibenarkan oleh gurunya.

Makanan yang disediakan itu pula memang memenuhi keperluan untuk tumbesaran, tetapi tidak berlebihan. Contohnya ubi kentang sebagai karbohidrat, ikan sebagai protein, berserta sayur-sayuran dan susu. Mereka juga akan menjamah makanan sehingga habis. Ini suatu kemestian. Kalau tidak habis semua orang akan tunggu sehinggalah murid itu menghabiskan makanan sendiri.

Setelah selesai makan, semua orang basuh pinggan sendiri. Murid yang bertugas pula menghantar semula periuk-periuk ke tempat penyediaan makanan. Mereka juga diajar supaya patuh kepada sistem kitar semula bahan sisa. Sebagai contoh, kotak susu akan diletakkan di dalam plastik khas dan tidak boleh dibuang sesuka hati. Sisa-sisa makanan dibuang ke dalam plastik yang disediakan.

Perkara remeh seperti cara-cara membasuh tangan juga diajar dan diamalkan setiap hari sebagai latih tubi. Perkara ini mula diajar semasa umur prasekolah (tadika). Sebelum makan, selepas makan, selepas main, selepas kerja dan sebagainya, tangan mesti dibasuh. Perkara ini sudah menjadi habit. Membasuh tangan pula mesti guna sabun khas untuk tangan. Banyak iklan ditonjolkan dalam media seperti televisyen yang menyarankan kanak-kanak supaya membasuh tangan. Kadang-kadang penekanan seperti ini nampak remeh bagi kita, tetapi sangat penting bagi mereka.

Di setiap sekolah rendah diadakan padang, taman permainan dan kolam renang, di seluruh negeri Jepun. Oleh itu mereka dapat melaksanakan kehendak supaya semua rakyat Jepun tahu berenang. Perkara ini mungkin masih sukar untuk kita capai kerana pengurusan yang memerlukan belanja besar.

Namun, mereka mempunyai cara untuk membantu mengurang perbelanjaan pengurusan ini. Nampaknya, mereka kurang gemar kepada acara sambutan majlis secara besar-besaran. Contohnya, seperti hari penyampaian hadiah atau sambutan hari guru, hanya dilakukan ala kadar. Sikap seperti ini diteruskan sampai ke peringkat universiti. Memanglah kelihatan tidak ‘meriah’ langsung! Tetapi ini mungkin cara mereka untuk berjimat.

Rakyat Jepun mempunyai jiwa yang penuh disiplin dan ‘sivik’. Biar di mana saja mereka berada. Di tempat kerja atau di jalan raya. Mereka adalah bangsa yang tekun bekerja dan memiliki jiwa hendak berlumba-lumba. Ini adalah hasil ‘latih tubi’ disiplin yang diterapkan sejak zaman kanak-kanak.

Bagaimanapun, bukanlah semua perkara yang dimiliki oleh rakyat Jepun ini baik belaka. Misalnya, akibat pemodenan melampau, anak-anak muda kurang minat untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi seperti universiti. Ini adalah akibat daripada kemudahan mereka untuk mendapat kerja. Setelah tamat diploma di ‘kosen’ (politeknik), mereka boleh terus bekerja dengan gaji yang lumayan. Oleh itu, mereka tidak berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti hanya dengan alasan bagi mendapat kerja yang bagus. Ini berbeza dengan sikap kita di Malaysia. Di Jepun, pelajar yang telah memiliki diploma kolej yang berminat ke universiti hanyalah untuk pengembangan akademik individu sahaja. Tiada kaitan dengan peluang kerja.

Kebanyakan tempat kerja cuma menitikberatkan merit dan kerajinan kerja untuk kenaikan pangkat. Tiada kaitan dengan sijil yang dimiliki. Dalam hal ini pemegang diploma dengan pemegang ijazah universiti tidak banyak berbeza ketika bekerja. Hanya prestasi kerja masing-masing yang diperlukan untuk kenaikan pangkat dan sudah tentunya kenaikan gaji.

Selain itu, masalah buli semakin menjadi-jadi, baik ditempat kerja mahupun di sekolah. Sungguh kerap kita baca kejadian bunuh diri angkara buli yang keterlaluan.

Demikianlah. Di sebalik ketenangan pagi yang berkabus dalam musim dingin ini, ada pula keresahan jiwa dalam segelintir rakyat Jepun. Tiap seorang mengejar cita-cita untuk menjadi yang terbaik dalam bidang yang diminatinya. Kadang-kadang ada juga yang terbabas dalam perlumbaan menjadi manusia terbaik itu.

– HAIDAR NAJIYAH IBRAHIM ialah pelajar tahun akhir Maizuru Technical College of Technology, Kyoto, Jepun.

(terima kasih kepada Encik Sani KSM)

2 Comments (+add yours?)

  1. mamawafiy
    Sep 13, 2007 @ 04:04:48

    tu la sebabnya aku nak sangat study kat Jepun dulu tapi mak aku tak bagi dan ditakdirkan result pun tak berapa bagus..memang diorg sangat2 berdisplin tak kira tua atau muda. tak ada istilah ‘skema’ bila seseorang tu patuhi peraturan 100%..

    Reply

  2. Ermie Baharundin
    Dec 17, 2009 @ 07:15:21

    memang bagus artikel ni…susah nak terapkan kpd org Malaysia.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: